ISKANDAR PUTERI : Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah meratah Kelantan FC 5-1 untuk memastikan kemenangan keempat berturut-turut dan kekal selaku pendahulu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dengan tidak melakukan rombakan besar pada kesebelasan utama, pengendali JDT, Esteban Solari hanya menyenaraikan Feroz Baharuddin di posisi pertahanan dan mengekalkan barisan pemain yang membelasah Negeri Sembilan FC 7-0, baru-baru ini.
Seawal minit ketiga JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Khairul Syahmi Ahmad Khalidi selepas mengesan pemain pertahanan Kelantan FC mengasari Arif Aiman Hanapi di dalam kotak penalti.
Fernando Forestieri yang mengambil sepakan penalti itu bagaimanapun melihat sepakannya ditampan penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad tetapi Diogo Luis Santo pantas menyambar bola muntah untuk memastikan tuan rumah mendahului 1-0.
Skuad Harimau Selatan terlepas peluang menambah jaringan apabila bola rembatan Diogo pada minit ke-22 selepas menerima lorongan Forestieri dibatalkan kerana berada dalam keadaan ofsaid
Namun serangan bertali arus JDT membuahkan hasil pada minit ke-24 apabila bola sepakan lintang Corbin Ong menyaksikan Diogo sempat mendada bola sebelum membiarkan Endrick Dos Santos merembat bola menewaskan Nik Mohd Amin.
Ketika aksi memasuki minit ke-35, JDT memastikan skuad The Red Warriors menjadi `lubuk’ jaringan selepas bola sepakan lintang di posisi sayap kiri menyaksikan Diogo sekali lagi mendada bola untuk membuka ruang buat Forestieri meledak rembatan menewaskan Nik Ahmad untuk selesa mendahului 3-0.
Bersambung babak kedua, anak didik Solari menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan tetapi pengendali Kelantan FC, Choi Moon-sik tampak mula mengubah pendekatan taktikal apabila bermain secara berkampung di kawasan sendiri bagi mengelak JDT menambah jaringan.
Tetapi pendekatan taktikal itu tidak menjadi apabila Juan Muniz yang tidak dikawal merembat bola dari jarak 25 meter pada minit ke-55 sekali gus memerangkap Nik Ahmad Amin yang sekadar melihat bola menerjah jaring.
Bagaimanapun tindakan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang menjatuhkan Ismaheel Akinade di dalam kotak penalti menyaksikan Khairul Syahmi tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-69.
Pemain gantian Leonardo Rolon yang mengambil sepakan penalti itu berjaya menyempurnakannya sekali gus gawang JDT yang dikawal Ahmad Syihan akhirnya bolos selepas 339 minit permainan.
Namun, jaringan pencetus semangat anak didik Moon-sik itu bagaikan terpadam selepas Khairul Syahmi sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat JDT ketika aksi berbaki sembilan minit ditamatkan dan Arif Aiman mudah menyempurnakan sepakan untuk memastikan kemenangan 5-1 memihak juara liga sembilan kali berturut-turut itu.
-Berita Harian