ASTANA: Kazakhstan tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengenakan sekatan terhadap Russia, seperti yang diterapkan sejumlah negara susulan perang di Ukraine.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Ekonomi, Alibek Kuantyrov, berkata Kazakhstan tidak menyokong atau menyebelahi mana-mana pihak dan akan fokus untuk memajukan ekonomi negara itu.
“Kami tidak membincangkan atau memikirkan untuk terbabit sama melakukan sekatan. Fokus kami adalah untuk membawa keuntungan bagi ekonomi negara kami,” katanya dalam taklimat media di sini.
Sejumlah negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan anggota Kesatuan Eropah (EU) telah mengenakan pelbagai sekatan terhadap Russia selepas Moskow melakukan pencerobohan terhadap Ukraine pada 24 Februari 2022.
Kuantyrov berkata, Kazakhstan menyedari bahawa negaranya tersepit di antara pihak yang terbabit dalam perang Ukraine.
Beliau berkata, Kazakhstan mempunyai hubungan erat dari segi geografi dan sejarah dengan kedua-dua pihak, sama ada Russia mahupun Ukraine.
“Kami harus bertindak dalam kerangka memberi manfaat untuk rakyat, bangsa, dan integriti wilayah Kazakhstan. Kerana itulah kami melaksanakan kepintaran ekonomi,” katanya.
Kuantyrov berkata, Kazahkstan akan memastikan wilayahnya tidak akan digunakan oleh pelbagai syarikat untuk menghindari sekatan yang berlaku dan pada masa sama, tetap menjalin hubungan perdagangan dengan Russia dan negara-negara lain.
Beliau mengakui risiko berhubung keadaan geopolitik serta konflik di antara negara yang terbabit masih menjadi halangan terbesar bagi agenda ekonomi Kazakhstan.
“Namun, merujuk kepada pelbagai pencapaian Kazakhstan sepanjang 2022, ia menekankan bahawa kami mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai masalah ekonomi global yang semakin buruk.
“Paling penting, kami berupaya mempertahankan pertumbuhan ekonomi yang positif,” katanya.
Ekonomi Kazakhstan tahun lalu meningkat sebanyak 3.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, terutama didorong oleh peningkatan pelaburan dan perdagangan luar.
BHonline-