KEJAYAAN cemerlang dipamerkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam mendominasi bola sepak Liga Malaysia sejak dijenamakan pada 2013 bukanlah nasib atau satu kebetulan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pandangan itu disuarakan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedahkan minat kepada bola sepak khususnya negeri Johor sudah tersemat sejak kecil lagi.
“Cinta saya kepada bola sepak dan Johor sudah berlaku sejak sekian lama. Saya membesar dengan pemain bola. Apa yang terjadi kepada JDT hari ini bukan satu kebetulan,” kata Tunku Mahkota Johor menerusi laman sosial Instagramnya semalam.
Skuad JDT yang dikendalikan oleh Esteban Solari telah mencipta sensasi apabila menang 7-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Isnin lepas.
Situasi itu menyaksikan pengendali NSFC, K. Devan menyatakan pasukannya ketinggalan 10 tahun di belakang skuad Harimau Selatan itu dari aspek pemain dan fasiliti.
Sepanjang hampir 10 tahun, JDT telah meleburkan banyak sejarah tersendiri termasuk ‘sapu bersih’ empat trofi tahun lalu dengan menjulang Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
JDT dilihat berada di landasan terbaik untuk merekodkan kejuaraan Liga Super buat kali-10 berturut-turut musim ini.
JDT juga pernah menjulang trofi Piala AFC 2015 dan wakil tunggal Malaysia bersaing pada Liga Juara-Juara Asia (ACL) sejak tahun 2019.
-Kosmo Online