KUALA LUMPUR: Kes pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Hakim Muniandy Kannyappan menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan, Januari lalu.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM27 juta, didakwa hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.
Kes itu mula dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mahkamah bahawa keputusan permohonan mendapatkan kebenaran semakan Najib berhubung keputusan kes penyelewengan dana SRC International akan ditentukan sebelum 31 Mac ini.
“Seperti yang pernah dimaklumkan kepada mahkamah sebelum ini, memandangkan semakan keputusan SRC International masih belum diputuskan maka kami memohon agar perbicaraan kes ini tidak dimulakan sehingga keputusan semakan itu ditentukan,”kata Mohd. Ashrof.
Peguam bela, Alistair Norman mengesahkan perkara tersebut dan turut memaklumkan pihaknya tidak mengemukakan sebarang bantahan untuk perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga semakan diputuskan.
Hakim Muniandy kemudian menetapkan 29 Mei untuk pengurusan kes.
Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
UtusanOnline-