SABAK BERNAM : Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor mengesahkan seekor kucing batu mati dilanggar di tepi Jalan Klang-Teluk Intan dekat Kampung Tebuk Pulai, di sini kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kucing batu ialah spesis kucing bersaiz kecil yang mendiami pelbagai jenis habitat, termasuk hutan tebal, ladang dan kebun berhampiran hutan.
Pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 6 petang semalam menerusi video yang tular di media sosial Facebook.
“PERHILITAN Selangor mencari pemilik akaun Facebook berkenaan untuk bertanya kesahihan haiwan liar itu dan lokasi sebenar kejadian. Hasil siasatan mendapati gambar yang tular adalah sahih dan pemilik akaun berjaya dihubungi melalui panggilan telefon,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat yang diperoleh daripada pemilik akaun Facebook berkenaan, pihaknya kemudian melakukan tinjauan di lokasi kejadian.
“Berdasarkan semakan dan siasatan lanjut, kucing batu itu dipercayai mati pada hari yang sama. Bangkai kemudian diambil dan dibawa ke pejabat PERHILITAN untuk tindakan lanjut,” katanya.
Choon Yung berkata, kejadian sama pernah berlaku di daerah Kuala Selangor pada 2021 membabitkan spesis haiwan yang sama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutama pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu.
“Sekiranya menemui hidupan liar yang cedera atau mati, hubungi PERHILITAN dengan kadar segera. Perbuatan mengambil hidupan liar meskipun ia mati adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
-Berita Harian