IPOH: Lebih 3,000 paket kuih-muih dan pelbagai juadah yang dijual pada harga RM1 sepaket licin dibeli pengunjung di sebuah gerai di Taman Klebang Restu di sini yang terletak kira-kira 20 minit dari pusat bandar raya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Terdapat 24 vendor yang mengambil bahagian menghantar kuih-muih dan juadah di gerai yang dibuka pada 2 petang hingga 7.30 malam sepanjang bulan Ramadan ini.
Pelbagai kuih seperti lopes, kuih ketayap, cara berlauk, tauhu bergedil, koktel buah termasuk aneka juadah seperti nasi ayam kunyit, nasi ayam merah, makaroni goreng dan kuetiau goreng yang dijual laris kerana rasanya yang enak.
Pembantu kedai, Nurul Nartisa Ishak, 28, berkata inisiatif itu dilakukan agar pengunjung dapat merasai pelbagai kuih-muih dan juadah dengan harga yang murah iaitu RM1 untuk setiap satu paket.
“Setiap satu paket kuih dan juadah ini dibungkus cukup untuk seorang makan. Jadi, apabila ada yang berkeluarga, mereka dapat membeli dalam kuantiti yang banyak tanpa risau mengenai harga yang mahal seperti sesetengah kedai.
“Gerai kami sudah dibuka sejak dua bulan lepas, setakat ini memang kuih-muih dan juadah di gerai kami akan habis dibeli oleh pengunjung dan rata-ratanya ada yang sanggup datang dari pekan Ipoh kerana mereka teruja dengan harga dan pilihan yang disediakan,” katanya ketika ditemui Bernama.
Nurul Nartisa yang membantu perniagaan iparnya berkata, jualan agak memberangsangkan apabila mereka boleh mengekalkan hasil jualan lebih RM3,000 sehari.
“Saya dan pihak vendor tidaklah mendapat keuntungan yang tinggi, cukup-cukup untuk kami peniaga mendapatkan modal pusingan daripada jualan. Saya lebih seronok melihat pengunjung yang hadir dapat membeli kuih-muih dan sajian makanan kami dengan harga yang murah.
“Ada seorang ayah dan beberapa anaknya hadir ke gerai, ayahnya suruh pilih sahaja apa yang mereka mahu memandangkan terdapat pelbagai pilihan dan harga yang sangat mampu dimiliki oleh setiap golongan lebih-lebih lagi B40.
Bagi vendor, Siti Nur Syazlili Mohd Shafiaie, 33, berkata dia akan menghantar beberapa kuih ke gerai itu antaranya kuih lopes, cara berlauk dan pulut inti bagi membantu meringankan beban keluarga.
“Setakat ini, saya seronok berniaga macam ini. Apbila hantar kuih, habis. Pengunjung yang datang pun gembira dan ada juga yang datang dari jauh hampir setiap hari bagi merasai keenakan kuih kami.
“Walaupun dijual pada harga yang murah, kami vendor akan memastikan kuantiti yang dijual adalah banyak.
Macam satu jenis kuih, saya perlu hantar dalam 10 paket sebab ingin pastikan ada modal pusingan,” katanya.
Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Amy berkata, sudah masuk hari ketiga dia hadir membeli kuih-muih dan juadah di situ kerana banyak pilihan dan murah.
“Saya datang dari Ipoh, ini sudah masuk hari yang ketiga saya hadir ke sini. Makanan di sini sedap dan banyak pilihan. Dengan harga RM1 ini saya dapat membeli macam-macam kuih, kalau saya bawa RM10, saya boleh membeli 10 paket kuih pelbagai jenis tanpa perlu berkira tentang harga.
“Tetapi perlu datang awal memandangkan kuih-muih dan juadah akan mula habis menjelang petang. Saya datang jam 4.30 petang pun sudah mula tinggal separuh. Belum lagi waktu orang balik kerja, pasti licin,” katanya.
Bernama-