PUTRAJAYA – Kerajaan sudah berjaya mendapatkan kembali lebih 70 peratus aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion setakat ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia adalah satu kejayaan buat negara hasil kerja keras SPRM, Kementerian Kewangan (MOF) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
“Pengesanan baki aset 1MDB masih lagi diteruskan dan ia tidak akan dihentikan. Kita akan usahakan sebaik mungkin untuk kembalikan wang yang telah dicuri ini kepada negara.
“Duit yang hilang sebenarnya RM42 bilion, jadi kalau kita tengok dapat pemulangan dalam RM28.3 bilion. Baki 30 peratus kita cuba dapatkan balik secepat mungkin,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan Universiti Teknologi Mara (Uitm) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata, kejayaan memperoleh sejumlah AS$1.8 bilion (RM8 bilion) dari dua firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) baru-baru ini juga satu kejayaan besar.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan IPIC dan Aabar PJS bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.
-Kosmo Online