CYBERJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memastikan mereka yang wajib membayar cukai tidak culas atau terlepas daripada tanggungjawab itu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perdana Menteri berkata, jika usaha itu dapat dilaksanakan dengan baik, prestasi hasil negara akan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Ini sebagai dorongan, selagi saya diberi amanah pimpin kerajaan ini, saya mahu rakyat sama ada kecil atau kaya tunduk kepada hukum (undang-undang) dan tidak terlepas daripada membayar cukai.
“Tanggungjawab saudara yang kena pastikan, kalau dapat dilaksanakan, saya percaya hasil kita akan terus meningkat lebih daripada prestasi yang cukup baik dicatatkan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hasil Ke-27 di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tanpa mengira individu itu sahabatnya atau penyokongnya, LHDN wajib ‘mengejar’ mereka supaya menjelaskan cukai.
“Kalau saudara lihat, pimpinan silih berganti dalam negara kita, ada yang kata mereka itu bersih tetapi sistem itu tercemar.
“Tanggungjawab saudara ialah melihat prestasi yang baik dan mencari (cara) supaya negara kita terangkat semula sebagai negara hebat,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau mahukan perubahan terutama dalam membebaskan lebih 130,000 orang daripada kemiskinan tegar tahun ini.
“Tahun ini kita mulakan gerakan supaya anak-anak kita di sekolah tidak pergi sekolah dengan tandas rosak…sebab itu saya ambil ketetapan tahun ini belanja RM1 bilion untuk sekolah dan klinik daif,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan semua warga LHDN supaya tidak terjerumus dalam rasuah.
“Negara kita ini umumnya sudah terkenal dengan rasuah yang terlalu menjalar. Saya sebut rasuah ini bukan kepada seorang kleptokrat yang cuba diuar-uarkan, tak benar.
“Rasuah itu sudah sistemik, pemimpin politik memunggah kekayaan, kesan itu terlalu ramai, maka harus ada permulaan yang tegas dan keras untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita daripada kebobrokkan sistem yang merosakkan. Ia bermula dengan kita,” katanya.
Anwar berkata, itu antara sebab beliau menggagaskan Malaysia Madani, untuk membawa hasil yang baik dengan penjanaan pertumbuhan lebih segar.
Katanya, walaupun pertumbuhan negara mungkin segar dan hasilnya banyak, ketirisan dan kebocoran turut berlaku.
“Buat tender kalau kosnya RM2 bilion, RM200 juta memang lesap dan saya tidak tokok tambah, ini bukan kerja yang popular kerana ramai orang marahkan saya dalam TikTok kerana buat tuduhan dan fitnah.
“Saya tidak tuduh, tetapi ini memang perkara yang benar berlaku. Jadi orang yang kadang-kadang bicara soal hidup bangsa, tetapi rupanya khianat kepada bangsa.
“Kadang-kadang bicara soal Islam dengan kopiah dan jubahnya, dipertahankan perasuah…saya bingung untuk apa kita hidup tanpa nilai dan akhlak,” katanya.
-Berita Harian