WASHINGTON: Sebuah lubang besar 20 kali lebih besar daripada Bumi dikesan pada matahari yang merupakan kemunculan lubang kedua dalam tempoh satu minggu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Lapor Daily Mail, ‘lubang korona’ yang ternganga itu mengeluarkan tiupan angin suria dengan kelajuan 2.9 juta kilometer sejam ke arah bumi, yang dijangka akan memberi kesan kepada medan magnet, satelit dan teknologi bermula esok.
Lubang pertama yang dikesan pada 23 Mac lalu dengan sekitar 30 kali ganda saiz bumi dilaporkan mengeluarkan angin suria yang mencetuskan aurora menakjubkan sehingga ke selatan Arizona.
Gambar keadaan kedua-dua lubang itu diambil oleh Balai Cerap Dinamik Suria Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), yang mengkaji matahari.
“Lubang koronal adalah kawasan terbuka secara magnetik yang merupakan salah satu sumber angin suria berkelajuan tinggi.
“Ia kelihatan gelap apabila dilihat dalam pelbagai jarak gelombang cahaya ultraungu ekstrem, seperti yang dilihat di sini. Ada kalanya, angin suria boleh menjana aurora pada latitud yang lebih tinggi di bumi,” jelas NASA.
Lubang koronal adalah ciri biasa pada matahari, walaupun ia muncul di tempat yang berbeza terutamanya berhampiran kutub dengan kekerapan pada masa yang berbeza dalam kitaran aktiviti matahari.
Lubang-lubang tersebut biasanya tidak berbahaya, walaupun komunikasi satelit dan transmisi radio altitud tinggi kadangkala mungkin terganggu buat sementara waktu.
“Bentuk lubang koronal ini tidak begitu istimewa. Bagaimanapun, lokasinya menjadikannya sangat menarik.
“Saya menjangkakan angin kencang dari lubang koronal itu akan datang ke bumi sekitar malam Jumaat hingga pagi Sabtu minggu ini,” kata Profesor Madya Fizik Iklim dan Angkasa University College London, Daniel Verscharen.
Lubang koronal pertama menghasilkan aurora pada 24 Mac lalu yang menerangi langit malam dengan warna ungu dan hijau.
Aurora itu disebabkan oleh ribut suria kuat yang boleh menjejaskan sistem kuasa dan operasi kapal angkasa, termasuk isu orientasi.
UtusanOnline-