TOKYO: Mahkamah Tinggi Tokyo hari ini memerintahkan perbicaraan semula kes bekas peninju berusia 87 tahun, Iwao Hakamada, banduan akhir sedang menunggu hukuman mati paling lama di dunia.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dia dipenjarakan hampir enam dekad selepas disabitkan atas kesalahan membunuh.
Peguam mewakili Hakamada meninggalkan mahkamah selepas sesi ringkas dan membentangkan sepanduk bertulis ‘perbicaraan semula’ sambil penyokongnya melaungkan ‘bebaskan Hakamada sekarang’.
“Saya menunggu selama 57 tahun dan masa dinanti akhirnya tiba,” kata kakak Hakamada, Hideko, yang berkempen tanpa henti bagi pihak adiknya.
Hakamada menghabiskan masa hampir lima dekad di penjara dan diperakui sebagai banduan akhir paling lama menunggu hukuman mati, sebelum mahkamah rendah memerintahkan perbicaraan semula dan membebaskannya sementara kes diteruskan.
Dia dijatuhi hukuman mati pada 1968 kerana merompak dan membunuh majikannya, isteri lelaki itu dan dua anak mereka.
Pada mulanya, dia menafikan tuduhan itu, tetapi kemudian mengaku selepas mendakwa berdepan sesi soal siasat polis yang kejam termasuk dipukul.
Percubaannya untuk menarik balik pengakuan itu sia-sia dan hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Agung pada 1980.
Mahkamah daerah di pusat bandar Shizuoka membenarkan perbicaraan semula pada 2014, mencari kumpulan penyiasat yang boleh mengemukakan bukti.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Tokyo membatalkan keputusan mahkamah rendah empat tahun kemudian, dan kes itu dihantar ke Mahkamah Agung susulan rayuan.
Pada 2020, hakim memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Tokyo mesti mempertimbangkan semula keputusannya.
Satu bukti penting yang digunakan untuk mensabitkan kesalahan adalah satu set pakaian berlumuran darah yang muncul lebih setahun selepas kes jenayah itu berlaku.
Ujian data asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati tiada kaitan di antara Hakamada, pakaian dan darah, namun Mahkamah Tinggi menolak kaedah itu.
Jepun adalah satu-satunya negara demokrasi perindustrian utama selain AS yang mengekalkan hukuman mati, dan ia masih mendapat sokongan meluas orang awam.
BHonline-