Wednesday, January 22, 2025

Creating liberating content

Euro 2016: Sepanyol Pamer...

LUXEMBOURG - Diego Costa menjaringkan gol pertama buat Sepanyol selepas tujuh kemunculan bagi...

Gambar: Bomba Selamatkan Lelaki...

AKIBAT satu perselisihan faham, seorang lelaki bertindak menyembunyikan diri dengan menyorok dalam sebuah...

MH370: Australia Hantar Pakar...

KUALA LUMPUR - Australia telah menghantar seorang pakar daripada Biro Keselamatan Pengangkutannya (ATSB)...

“Tun Mahathir Pula? Wa...

KUALA LUMPUR - Penyokong pembangkang diminta tidak berterusan mengecam institusi diraja hanya kerana...

Minum Air Bergaram, Pelarian Yaman Berdepan Kerosakan Buah Pinggang

MA’RIB, Yaman : Nasib malang lebih tiga juta pelarian dalam negara (IDP) di wilayah ini belum ada noktahnya selepas berterusan dihimpit satu demi satu kesusahan.

Ikuti Mynewshub: Telegram

Tidak cukup dengan nasib dihimpit peperangan dan kebuluran, mangsa perang pemberontakan Houthi dengan tentera kerajaan Yaman itu juga berdepan masalah kritikal, kekurangan air bersih untuk minuman.

Tinggal di kawasan dikelilingi padang pasir dengan terik matahari dan suhu yang boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius, pastinya air bersih untuk minuman menjadi keperluan penting pelarian berkenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, kekurangan air bersih memaksa mereka bergantung kepada perigi atau air yang dibekalkan kerajaan untuk kegunaan mandi, membasuh pakaian dan sebagai air minuman.

Malangnya, sumber air itu pula tidak menyelesaikan masalah berikutan kandungan garamnya yang tinggi hingga mencetus masalah kesihatan kepada pelarian di Ma’rib, dengan kes kerosakan buah pinggang dalam kalangan IDP mula dikesan meningkat.

“Air dalam tangki itu hanya untuk mandi dan membasuh baju. Untuk minum, saya perlu membeli air bersih di luar,” kata Fawwaz Ahmad Ali, yang kehilangan separuh kaki kanannya akibat konflik di Yaman.

Fawwaz adalah ketua pelarian bagi kawasan penempatan yang dikhususkan untuk mereka yang mengalami kecederaan dan kecacatan akibat perang di kem pelarian AlJufainah.

Kem AlJufainah di Ma’rib adalah kem pelarian terbesar di Yaman, yang menempatkan sekitar 15,000 keluarga atau kira-kira 60,000 IDP sejak ia dibuka pada 2017.

Ma’rib menempatkan jumlah IDP terbesar di Yaman, selepas menerima kemasukan pelarian dari 12 wilayah lain susulan tercetus peperangan antara pemberontak syiah Houthi dengan tentera kerajaan Yaman pada 2014.

Menurut Fawwaz, mereka terpaksa keluar membeli air bersih memandangkan sumber air di seluruh Ma’rib tidak sesuai untuk dimasak dan diminum, disebabkan kandungan garam yang tinggi.


Tinjauan wartawan BH di kem pelarian AlJufainah mendapati air daripada tangki itu meninggalkan kesan putih di kebanyakan dinding kediaman pelarian, menunjukkan kandungan garam yang tinggi dalam air berkenaan.

Wartawan juga menyedari perkara itu apabila mendapati rasa air paip yang masin setiap kali berkumur sepanjang bermusafir di Ma’rib sejak Rabu lalu bagi mengikuti misi kemanusiaan Aman Palestin.

Bagi mendapatkan air bersih, Fawwaz terpaksa membelinya pada harga 100 riyal Yaman (RM2) yang diisi dalam tong berkapasiti 10 liter dan mampu bertahan sekitar seminggu jika kegunaannya dicatu.

Harga itu dilihat murah, namun hakikatnya mahal bagi lebih tiga juta pelarian Ma’rib, yang rata-ratanya tiada pekerjaan dan pendapatan, terutama bagi pelarian seperti Fawwaz yang cacat akibat perang, menyebabkan terpaksa bergantung harap pada bantuan tunai badan bukan kerajaan (NGO).

“Air berharga 100 riyal Yaman itu juga belum betul-betul bersih kerana masih ada kandungan garam yang tinggi. Jika mahu air yang ditapis lebih baik, harganya 200 riyal Yaman namun ia terlalu mahal,” kata Fawwaz.

Sementara itu, Nabil Solah, ketua Human Access bagi pelarian dari wilayah Sana’a, mengakui isu bekalan air bersih untuk diminum adalah antara masalah utama yang mengancam lebih tiga juta pelarian dan kira-kira 700,000 penduduk di Ma’rib.

Human Access adalah NGO tempatan terbesar yang membantu menguruskan beberapa kem dan keperluan pelarian, serta menjadi penghubung kepada kebanyakan NGO luar yang mahu menyalurkan sumbangan kepada pelarian Yaman.

“Ketika ini, jumlah pelarian yang mendapat masalah buah pinggang semakin meningkat kerana minum air yang ada terlalu banyak garam. Mereka terdesak dan tiada pilihan lain,” kata Nabil.

Setakat ini, katanya, sejumlah 65 pelarian direkodkan mendapat rawatan di Hospital Awam Ma’rib kerana masalah buah pinggang yang serius, namun ramai yang tidak mendapatkan rawatan kerana kapasiti hospital yang terhad.

-Berita Harian

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori