Orang ramai hanya memiliki tempoh kira-kira sebulan setengah untuk melihat aksi comel anak panda Yi Yi dan Sheng Yi di Zoo Negara, sebelum kedua-dua anak panda gergasi itu dihantar pulang ke China, Mei ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Pengarah Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata kerajaan China telah memberi lampu hijau untuk Malaysia menghantar semula kedua-dua anak panda berkenaan, setelah ia tertangguh beberapa tahun akibat pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun tarikh sebenar penghantaran masih belum diperoleh, namun mungkin pada pertengahan Mei ini. Anak panda ini akan dihantar terus ke Chengdu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pasangan Panda Gergasi, Fu Wa dan Feng Yi dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada 2014 untuk tempoh 10 tahun, sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa itu, membolehkan Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan mengenai pemuliharaan Panda Gergasi, selain membangun dan melatih kepakaran tempatan.
Sehingga kini, pasangan panda berkenaan yang dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang, melahirkan tiga ekor anak panda, iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021.
Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada 2017.
Mengikut perjanjian, setiap anak panda gergasi perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia empat tahun.
Kehadiran panda di Pusat Konservasi Panda Gergasi itu juga antara lain turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dan membantu meningkatkan pendapatan Zoo Negara.
-Malaysia Kini