SEPANG – Seorang peniaga ikan pekasam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komen jelik ke atas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di laman Twitter miliknya tahun lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang hadir dengan ditemani ibunya membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk teks yang jelik sifatnya iaitu ‘Sultan Johor Bangsat’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan aplikasi Twitter, ‘fadzelli6’.
Hantaran itu dibaca pada 25 November tahun lalu, kira-kira pukul 2.11 petang di Tingkat 19, Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil dan Pegawai Pendakwa SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin manakala OKS tidak diwakili peguam.
Sebelum itu, Fazril Sani mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan terhadap OKS, namun OKS merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia terpaksa menanggung lima beradik dengan hanya membantu ibu menjual ikan pekasam.
Hakim kemudian membenarkan Nor Fadzelli diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta melantik peguam.
-Kosmo Online