KUALA LUMPUR: PETRONAS dijangka mencatatkan prestasi kewangan tahunan terbaik pernah direkodkan, disokong oleh harga minyak yang tinggi melepasi AS$100 satu tong tahun lalu.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Berdasarkan prestasi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM77.2 bilion.
Jumlah keuntungan bersih itu dilihat melepasi untung bersih yang dicatatkannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, iaitu sebanyak RM65.6 bilion.
Malah, 2022 juga menyaksikan syarikat minyak dan gas utama global lain mencatatkan keuntungan tahunan terbesar masing-masing.
ExxonMobil melaporkan keuntungan tertinggi setakat ini untuk mana-mana syarikat minyak di rantau Barat iaitu sebanyak AS$59.1 bilion, manakala Shell mengumumkan keuntungan terbesar dalam sejarah 115 tahun syarikat itu berjumlah AS$39.9 bilion.
Chevron pula merekodkan keuntungan AS$36.5 bilion, TotalEnergies berjumlah AS$36.2 bilion dan BP sebanyak AS$27.7 bilion.
Harga minyak dunia meningkat pada Mac tahun lalu berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dengan penanda aras minyak mentah antarabangsa, Brent mencecah AS$139.13 setong, tertinggi sejak 2008.
Beri impak positif
Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kenaikan harga minyak dunia yang melebihi AS$100 satu tong pada tahun lalu dijangka memberi impak yang positif kepada pendapatan syarikat minyak dan gas nasional itu.
Beliau berkata, ia terbukti apabila keuntungan bersih yang dicatatkan bagi tempoh sembilan bulan pertama mencecah RM77.2 bilion.
Bergerak ke hadapan, Mohd Afzanizam berkata, harga minyak global dijangka lebih berhati-hati berikutan jangkaan ekonomi global yang lebih perlahan iaitu 2.9 peratus pada 2023 berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan pada tahun lalu seperti yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Namun, jelasnya, pembukaan ekonomi China sejak akhir tahun lalu dilihat mampu untuk mengekalkan momentum pertumbuhan yang baik bagi tahun ini.
“Justeru, kemungkinan untuk harga minyak mentah kekal tinggi sememangnya ada. Namun, risiko seperti kelembapan ekonomi dunia serta ketidaksepakatan antara negara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengawal penawaran minyak dunia juga boleh menyebabkan kemeruapan di dalam harga minyak mentah,” katanya kepada BH.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula berkata PETRONAS dijangka mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi untuk tahun kewangan 2022.
Beliau berkata, antara faktor utamanya adalah kenaikan harga minyak mentah yang melepasi AS$100 satu tong apabila Russia memulakan serangan ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022.
“Harga minyak mentah untuk 2022 adalah lebih tinggi berbanding 2021 secara purata, dan ini memberikan kesan positif kepada kewangan PETRONAS, yang turut menjanjikan dividen yang baik kepada kerajaan Malaysia dalam usaha kerajaan mengurangkan defisit perbelanjaannya,” katanya.
BHonline-