KULIM : Sebahagian besar peniaga Karnival Raya Padang Serai terpaksa menanggung kerugian apabila khemah perniagaan mereka rosak dipukul ribut, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kejadian dipercayai berlaku jam 3.30 petang tadi ketika kesemua peniaga di karnival itu sedang menjalankan perniagaan masing-masing.
Peniaga, Abdul Halim Hashim, 50, berkata, dia yang baru tiba di tempat kejadian sejurus kejadian berlaku terkejut melihat khemah peniaga berselerak.
Katanya, paling terkesan adalah peniaga pakaian kerana banyak baju yang basah akibat hujan lebat.
“Terdapat lebih 70 peniaga yang berniaga di karnival ini dan kebanyakan mereka terpaksa menanggung rugi hari ini disebabkan semua barangan rosak.
“Gerai menjual minuman dan makanan pula rosak akibat hujan lebat serta berselerak.
“Walaupun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan tetapi kasihan juga pada semua peniaga akibat kejadian ini yang berlaku secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Abdul Halim, karnival itu berlangsung sejak awal Ramadan lalu sehingga Hari Raya Aidilfitri ini.
-Berita Harian