KYIV: Serangan Russia ke atas pusat sokongan kemanusiaan di bandar timur Ukraine mengorbankan lima orang, kata Perkhidmatan Kecemasan, hari ini, ketika tentera Moscow berjuang menawan seluruh wilayah perindustrian Donetsk.
Ikuti Mynewshub: Telegram
“Pekan Kostyantynivka diserang roket pada malam tadi. Salah satu roket mengenai bangunan satu tingkat,” kata Perkhidmatan Kecemasan melalui aplikasi Telegram, sambil memaklumkan tiga wanita dan dua lelaki meninggal dunia.
Dalam pada itu, Perkhidmatan Kecemasan turut menerbitkan rakaman gambar yang menunjukkan bumbung bangunan satu tingkat runtuh dan serpihannya berselerakan sambil pekerja penyelamat kelihatan menilai lokasi kejadian.
Katanya, mangsa termasuk tiga wanita terbabit adalah pelarian dari Bakhmut, Chasiv Yar dan Opytnebandar yang terletak berhampiran pusat konflik.
Kostyantynivka terletak kira-kira 25 kilometer di barat Bakhmut, adalah sebuah bandar perindustrian yang menyaksikan pertempuran paling lama dan paling berdarah dalam pencerobohan itu.
Pendakwa wilayah dalam kenyataannya berkata, tentera Russia bertindak menembak sistem peluru berpandu antipesawat S-300 di Kostyantynivka.
Sementara itu, pihak berkuasa di wilayah selatan Kherson, yang sebahagiannya dikawal oleh tentera Russia, berkata seorang orang awam terbunuh oleh serangan Russia dalam tempoh 24 jam lalu.
BHonline-