PARLIMEN | Timbalan Menteri Pendidikan – sekali gus kerajaan – ditegur oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor hari ini kerana gagal bersedia seperti sepatutnya.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Insiden itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi apabila Lim Hui Ying tidak dapat memberikan jawaban kepada soalan yang dikemukakan ahli parlimen.
Lim sepatutnya menjawab pertanyaan Ahmad Marzuk Shaary (PN – Pengkalan Chepa) yang meminta Kementerian Pendidikan Malaysia menyatakan peruntukan untuk program rancangan makanan tambahan (RMT) dan mekanisme pemantauan untuk memastikan pelajar mendapat makanan yang berkhasiat.
Lim (PH-Tanjung) sepatutnya menjawab pertanyaan tersebut kerana menteri, Fadhlina Sidek, tidak hadir pada ketika itu.
Bagaimanapun Lim terdiam untuk beberapa ketika sebelum Ramli bertanya sama ada timbalan menteri terbabit bersedia dengan jawaban sepatutnya atau tidak.
“Yang berhormat menteri, saya rasa soalan ni ditanya sejak awal… Ada jawapan atau tidak?” tanya Ramli.
“Minta maaf tuan yang dipertua, sebab jawaban saya tak sediakan. Bolehkah saya berikan secara bertulis (kemudian)?” jawab Lim.
Kenyataan Lim itu mengundang rasa tidak senang ahli parlimen pembangkang termasuk Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang berpendapat kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.
Ronald yang pernah menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat menjelaskan soalan yang ditanyakan itu diberi kepada pihak yang berkenaan lebih awal.
“Menteri sepatutnya menyediakan jawaban dari awal,” katanya.
Ramli yang sependapat dengan Ronald kemudian berkata, kejadian seperti itu tidak wajar berlaku.
“Saya harap pihak kerajaan, ketua majlis ambil maklum perkara ini,” katanya.
Gagal tugasan mudah
Lim kemudian berdiri untuk meminta maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi tindakan tersebut.
Mengikut perintah tetap Dewan Rakyat, seseorang ahli parlimen tidak boleh bertanya soalan tanpa notis terlebih awal, melainkan speaker “berpendapat bahawa ia bersifat mendesak dan berkaitan sama ada dengan perkara kepentingan awam atau pengaturan urusan awam”.
Peraturan Mesyuarat 22(2) menyatakan soalan perlu dikemukakan kepada setiausaha parlimen tidak kurang daripada 10 hari bekerja sebelum persidangan bermula.
Sementara itu pada sidang media kemudian, Ahmad Marzuk mendesak Fadhlina dan Lim meletak jawatan ekoran gagal memberikan jawaban di parlimen.
Dia yang pernah menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kerajaan PN sebelum ini mendakwa, kerajaan membazirkan wang untuk membayar gaji kepada seorang timbalan menteri yang gagal memenuhi tanggungjawabnya.
“Ia suatu tugas yang sangat mudah, iaitu menjawab satu soalan.
“Maka hari ini saya mencadangkan timbalan menteri dan menteri yang berkenaan meletak jawatan. Ini tidak sepatutnya berlaku.
“Sepanjang ingatan saya, kejadian sebegini tak pernah berlaku dalam sejarah parlimen kita,” katanya.
-Malaysia Kini