SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang timbalan pengarah di sebuah universiti awam kerana dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang berjumlah lebih RM30,000.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menurut sumber, wang itu adalah hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan.
“Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu juga seorang profesor bergred Jusa C ditahan kira-kira jam 3.30 petang hari ini di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan,” katanya.
Dalam kejadian pada Ogos 2021 itu, suspek dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan terbabit ke dalam akaun bank peribadi miliknya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.
BHonline-