GUA MUSANG – Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) menangkap tiga ekor lembu yang berkeliaran di laluan kerap berlaku kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Felda Chiku 3 di sini, semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Penolong Setiausaha MDGM, W. Mohd. Afiq W. Alias berkata, ketiga-tiga ekor lembu itu ditangkap dalam operasi yang bermula pada pukul 11 pagi sehingga 4 petang.
Katanya, seramai 16 anggota penguat kuasa MDGM digerakkan ke lokasi yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan untuk menjejak haiwan terbabit.
“Selepas menjalankan pemantauan, anggota MDGM berjaya menangkap dua ekor lembu jantan dan seekor lembu betina berhampiran simpang Felda Chiku 3.
“Dalam operasi itu, tiga ekor lembu yang tidak ditambat oleh tuannya ditangkap kerana didapati berkeliaran di tempat awam. Pemilik boleh membuat penebusan haiwan ini mengikut prosedur tuntutan semula seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
W. Mohd. Afiq memberitahu, semua pemilik haiwan ternakan diingatkan supaya memastikan haiwan ternakan mereka dipelihara dengan baik selain tidak dibiarkan merayau sehingga menimbulkan gangguan dan mengancam keselamatan awam.
Katanya, operasi itu akan diadakan secara berjadual memandangkan terdapat banyak kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan rayau di Gua Musang sejak awal tahun ini.
-Kosmo Online