ALOR SETAR : Polis menahan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan berhubung kes melarikan seorang lelaki berusia 27 tahun di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, Mergong, di sini, kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata ketiga-tiga suspek ditahan antara jam 7 petang hingga 9 malam tadi di tiga lokasi berasingan di sekitar Changlun, Jitra dan Alor Setar.
Beliau berkata, mereka yang ditahan itu berusia 39, 40 dan 42 tahun termasuk seorang wanita yang didapati positif dadah.
“Ini menjadikan jumlah tangkapan berhubung kes itu setakat ini adalah empat orang bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Shukri berkata, polis mendapatkan reman terhadap tiga suspek berkenaan selama ini enam hari bermula hari ini.
Beliau berkata, mangsa juga sudah ditemui namun setakat ini motif kejadian itu masih dalam siasatan.
Semalam polis menahan seorang suspek dipercayai terbabit melarikan seorang lelaki oleh beberapa individu, termasuk seorang wanita di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, di sini.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan awal pagi semalam selepas bapa mangsa berusia 46 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Video berdurasi 41 saat itu turut ditular di laman sosial Facebook (FB) sejak kelmarin yang menunjukkan beberapa individu menolak mangsa ke dalam sebuah kereta Perodua Viva di lokasi kejadian.
-Berita Harian