Kuala Lumpur : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bagi siap siaga sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kecemasan dan kebakaran sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pembekuan cuti itu membabitkan 10,174 keanggotaan dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 30 April.
“Persediaan awal yang dilaksanakan oleh JBPM bagi mencegah berlakunya kebakaran semasa musim perayaan, antaranya melalui kempen kesedaran keselamatan kebakaran yang disasarkan kepada komuniti perumahan, pusat-pusat perniagaan dan lain-lain.
“Masyarakat diingatkan untuk sentiasa meningkatkan aspek keselamatan pencegahan kebakaran di premis dan kediaman masing-masing sebelum pulang ke kampung supaya tidak berdepan sebarang kerugian,” katanya kepada Bernama.
Selain kempen yang dijalankan secara fizikal,e-pembelajaranjuga dilaksanakan melalui medium media sosial seperti Facebook, Telegram, Youtube dan TikTok.
“Risiko berlakunya kebakaran meningkat pada musim perayaan dan penting untuk semua pihak meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengambil langkah mencegah kebakaran,” katanya.
Selain itu, JBPM juga melaksanakan penempatan pasukan bersedia yang menjalankan rondaan secara berjadual beberapa lokasi di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur yang dikenal pasti sebagai laluan utama.
“Fokus utama pelaksanaan ini adalah bagi mempercepatkan tempoh tindak balas pasukan dan golden hours bagi menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya.
-Harian Metro