Melaka : Seorang duda berusia 45 tahun maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat sembilan Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam kejadian jam 5.50 petang, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di atas bumbung tingkat dua Blok D PPR berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Balai Polis Tanjung Minyak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 5.55 petang.
Katanya, sepasukan anggota polis kemudian ke lokasi untuk melakukan siasatan dan tiba jam 6.03 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan berikutan dia tinggal seorang diri di sebuah kediaman di tingkat sama.
“Mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan dan muka, namun siasatan di tempat kejadian oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheng Jamian Saleh berkata, seramai enam anggota bomba terbabit dalam operasi mengangkat dan menurunkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
-Utusan Online