MELAKA: Polis menahan peniaga lemang yang klip videonya tular memukul pelanggan menggunakan buluh kerana marah selepas dituduh menjual juadah tidak masak dalam kejadian semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Peniaga berusia 41 tahun ditahan pukul 12.05 tengah malam di tepi Jalan Kota di sini oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat mangsa pada pukul 8.25 malam, kelmarin.
“Mangsa, pesara tentera berusia 61 tahun membeli lemang di Jalan Bukit Beruang Utama untuk dijadikan juadah berbuka puasa, namun setelah membelah lemang tersebut dia mendapati ia tidak masak.
“Mangsa pergi semula ke gerai terbabit untuk menukar lemang yang dibawanya di dalam bekas tetapi peniaga tersebut dikatakan enggan melihat, sebaliknya membelah salah satu lemang yang dibeli mangsa bagi menunjukan lemang tersebut masak sepenuhnya,” kata beliau kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Susulan itu berlaku pertengkaran dan penjual lemang terbabit bertindak memukul mangsa menggunakan buluh lemang sehingga menyebabkan mangsa cederadi telinga dan tangan.
Christopher berkata, peniaga yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan mendakwa mangsa menuduhkan menjual lemang yang tidak dimasak serta merakamkan video dengan niat menularkan kejadian tersebut.
“Mangsa juga telah membaling sebekas lemang yang dikatakan dibeli di kedai terbabit, menyebabkan suspek berang,” katanya.
UtusanOnline-