MOSCOW: Kebakaran besar berlaku hari ini di depoh bahan api di Sevastopol, pelabuhan utama di Crimea akibat serangan dron, menurut pihak berkuasa.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sevastopol adalah rumah kepada Armada Laut Hitam Russia yang berdepan beberapa siri serangan dron sejak serangan Kremlin di Ukraine dilancarkan tahun lepas.
Gabenor semenanjung yang ditempatkan di Moscow, Mikhail Razvozhayev, berkata satu simpanan bahan api terbakar di daerah Teluk Kazachya di bandar itu.
“Menurut maklumat awal, ia disebabkan oleh serangan dron dan saiz kebakaran dianggarkan sekitar 1,000 meter persegi hingga kepulan asap besar naik ke udara,” katanya.
Razvozhayev meminta warga Crimea untuk bertenang dan memaklumkan ‘tiada sesiapa yang cedera’.
Katanya, pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan dan tiada ancaman kepada infrastruktur awam.
Awal minggu ini, Russia berkata ia ‘menolak’ dakwaan berlaku serangan dron di pelabuhan itu.
Russia mengambil alih Crimea dari Ukraine pada 2014.
BHonline-