JOHOR BAHRU : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menghalang sesiapa termasuk ahli politik daripada memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, pihak yang mahu mengadakan program di dalam IPTA perlu mengadakan perbincangan dengan pengurusan universiti berkenaan terlebih dahulu.
“Mungkin ada ‘breakdown’ dalam komunikasi. Jadi, dalam hal ini kita memang berharap agar kedua-dua pihak dapat berjumpa dan mengaturkan semula program agar dapat dibuat sekali lagi,” katanya diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa beliau dilarang memasuki kawasan kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam bagi menghadiri sesi dialog.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.
Kelmarin, Syed Saddiq yang Ahli Parlimen Muar dilaporkan meluahkan kekesalannya kerana dihalang sedangkan hanya mahu mendengar suara penuntut universiti selain membincangkan beberapa isu berkaitan dengan mereka.
-Utusan Online