MELAKA : Padah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara sendiri, seorang lelaki dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 28 tahun mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, tertuduh didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dari belakang, memegang kemaluan dan payu dara sebelah kiri seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.26 petang dan 2.00 petang di sebuah rumah bernombor di Solok Bukit Bayan, Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 9 April 2023.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman setimbal dan sebat dengan mengambil kira mangsa yang masih kanak-kanak serta syarat tambahan, tertuduh perlu menjalani kaunseling pemulihan dan diletakkan di bawah pengawasan polis tidak kurang setahun selepas dibebaskan.
Tertuduh yang belum berkahwin merayu hukuman ringan dan memohon hanya hukuman berbentuk pemenjaraan dikenakan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 10 April 2023 dan turut membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
-Utusan Online