KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 aset daripada industri aeroangkasa dan maritim akan dipamerkan kepada pengunjung Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 yang berlangsung di Langkawi, bulan depan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengarah Eksekutif Alpine Solutions Sdn Bhd (Alpine) Muhammad Aqlan Pacleb berkata sebanyak 35 hingga 40 aset daripada industri maritim akan dipamerkan dan pengunjung dapat melihat kemunculan ‘istimewa’ aset maritim.
“Kali ini juga ada empat hingga lima pertunjukan udara antaranya Sukhoi Russia, August 1st dari China, Black Eagles (Korea), The Jupiter Aerobatic (Indonesia) dan ini adalah persembahan aerobatik udara terbesar,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Sementara itu, Pengarah Urusan Alpine, Anita Jacobson berkata, pihaknya selaku penganjur LIMA 2023 menyasarkan pelawat pameran tersebut iaitu pelawat perdagangan dan pelawat awam masing-masing dijangka mencecah 45,000 dan 250,000 pengunjung.
“Untuk tiga hari pertama LIMA 2023 iaitu pada 23 hingga 25 Mei, ia hanya terbuka kepada pelawat perdagangan. Kami beri peluang untuk mereka yang travel dari luar mahupun dalam negara bertemu dengan pemain industri bagi membincangkan perkara berkaitan perniagaan mereka.
“Bagi dua hari yang terakhir (26 dan 27 Mei), LIMA 2023 akan terbuka kepada pelawat awam untuk menyaksikan pameran berkaitan aset pertahanan serta keselamatan negara dan sebagainya,” katanya.
LIMA 2023 bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei.
Pameran edisi kali ini membabitkan dua kementerian utama iaitu Kementerian Pertahanan (bagi Industri Pertahanan Maritim dan Aeroangkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersial Maritim dan Aeroangkasa).
Kali terakhir pameran dwitahunan itu diadakan pada 2019 dan tidak diadakan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu.
Bernama-