JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO menggesa negara gergasi dunia, khususnya negara Islam, yang kononnya menjuarai hak asasi manusia untuk bertindak dan mengutuk serangan Israel di Palestin, awal pagi semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sambil mengutus sekeras-kerasnya serangan polis Israel ke atas umat Islam yang sedang beribadah di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis, Pemuda UMNO berkata, negara gergasi dunia tidak seharusnya berdiam diri dengan kejadian itu.
Naib Ketuanya, Mohd Hairi Mad Sah, berkata penjarahan dan pencabulan rejim Zionis Israel ke atas hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan mengikut undang undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin, adalah amat dikesali.
“Dasar undang-undang kemanusiaan dunia dalam Persidangan Geneva, menetapkan bahawa serangan tidak boleh dilakukan ke atas rumah ibadah, penduduk awam yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak serta pusat yang menjadi tempat di mana kakitangan perubatan merawat mangsa yang tercedera.
“Bagaimanapun, prinsip asas ini tidak diendahkan rejim Zionis, yang terus melakukan pencerobohan dan serangan setiap kali Ramadan. Ini satu perbuatan keji, amat zalim serta tidak berperikemanusiaan,”
katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menerusi laporan media, polis Israel kembali bertempur dengan rakyat Palestin untuk kali kedua di Masjid al-Aqsa, semalam.
Ia berlaku beberapa jam selepas pasukan rejim Zionis itu membuat serbuan pada awal pagi dan menahan serta mengeluarkan lebih 350 orang dari kawasan masjid berkenaan.
Konfrontasi itu yang berlaku ketika Ramadan, menyaksikan pihak berkuasa rejim Zionis cuba mengusir jemaah, dengan menembak peluru getah dan melepaskan bom tangan ‘stun’ menyebabkan 12 rakyat Palestin cedera, termasuk seorang kanak-kanak.
Mohd Hairi, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Pemuda UMNO mendesak supaya serangan dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan rejim Israel itu, dihentikan serta-merta.
“Ayuh, seluruh rakyat Malaysia, kita nyatakan solidariti mengutuk serangan rejim Zionis Israel dan terus berdiri teguh bersama-sama dengan saudara kita di Palestin,” katanya.
BHonline-