Saturday, November 23, 2024

Creating liberating content

Bagai Pesta: Stor Haram...

SEPERTI pertunjukkan bunga api apabila stor sebuah kilang yang dipercayai menyimpan mercun, terbakar...

Tanda-Tanda Awal Anwar Hilang...

KUALA LUMPUR - Kata-kata bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah tidak...

Masalah Utama Rumah Mampu...

KUALA LUMPUR - Jika isu perumahan mampu milik perlu diselesaikan, semua pihak perlu...

Kerajaan Cari Kaedah Struktur...

LANGKAWI - Kerajaan Kedah kini dalam proses berunding dengan kerajaan pusat, khususnya Kementerian...

Umur Bersara M’sia Naik Kepada 65 Beberapa Tahun Lagi

PUTRAJAYA: Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) menjangkakan had usia persaraan di negara ini akan dinaikkan daripada 60 ke 65 tahun dalam beberapa tahun akan datang.

Ikuti Mynewshub: Telegram

Ketua Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata had usia persaraan beberapa negara boleh dijadikan contoh dalam memanfaatkan pekerja berusia untuk keberhasilan negara.

Beliau berkata, persaraan wajib di Malaysia yang ditetapkan pada usia 60 tahun secara relatifnya lebih rendah berbanding negara lain, contohnya usia persaraan di Jepun ditetapkan pada usia 65 tahun dengan saiz warga emas tertinggi di negara itu.

“Di Australia, usia persaraan telah dinaikkan secara beransur-ansur daripada 65 kepada 67 tahun. Di sesetengah negara Eropah, usia persaraan adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, di Perancis ditetapkan pada usia 62 tahun, manakala di Jerman pada usia 65 tahun.

“Usia persaraan di sesebuah negara adalah penunjuk buruh dan sosial yang penting, yang juga adalah instrumen dasar.

“Menaikkan usia persaraan akan menggalakkan kestabilan kewangan dan kebajikan pekerja, meningkatkan bekalan buruh, menyumbang hasil cukai dan mengurangkan tekanan fiskal kepada kerajaan,” katanya kepada BH, semalam.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, Malaysia diunjurkan mencapai sebuah negara tua pada 2040 dengan saiz penduduk tua (65 tahun dan ke atas) meningkat kepada 14.5 peratus.

Katanya, penduduk yang menua bermaksud peningkatan saiz tenaga kerja berusia (55-64 tahun) serta penurunan golongan muda berusia 14 tahun dan ke bawah.

“Anggaran EU-ERA mendapati saiz pekerja berusia menunjukkan trend meningkat daripada 6.8 peratus pada 2010 kepada 8.2 peratus pada 2018.

“Apabila populasi dan jangka hayat semakin meningkat, semakin sedikit golongan muda memasuki tenaga buruh untuk menggantikan pekerja yang akan bersara. Ini boleh mengakibatkan kekurangan buruh, produktiviti yang lebih rendah dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan.

“Kajian EU-ERA juga mendapati faktor ekonomi terutama tekanan kewangan menjadi faktor utama peningkatan saiz tenaga kerja berusia walaupun selepas melepasi usia persaraan wajib.

“Anggaran kami mendapati sebahagian besar daripada mereka yang masih aktif dalam pasaran menjawat pekerjaan separa mahir dengan penguasaan sebanyak 66.7 peratus,” katanya.


Mohd Yusof berkata, sejajar dengan pemanjangan usia persaraan, ia juga perlu disokong dengan penciptaan pekerjaan yang mencukupi.

“Agensi perkhidmatan pekerjaan boleh memberi sumbangan ketara kepada segmen tenaga kerja berusia dengan menyediakan pekerjaan yang bersesuaian, menawarkan latihan kemahiran dan menghalang layanan diskriminasi usia pemohon oleh majikan.

“Di Jepun, kerajaan negara itu mewujudkan agensi khusus untuk mengurus aspek pekerjaan dan kebajikan pekerja berusia,” katanya.

Garis panduan pekerjaan

Beliau berkata, saiz pekerja berusia yang semakin meningkat dalam pasaran buruh menuntut kepada peraturan dan garis panduan pekerjaan yang menyokong kumpulan tenaga kerja itu.

“Peraturan dan garis panduan adalah perlu untuk memastikan faedah dan kebajikan pekerja berusia dilindungi tanpa sebarang diskriminasi berbanding pekerja yang lebih muda.

“Di samping itu, peraturan dan garis panduan mungkin berbeza antara satu sektor dengan sektor yang lain, dengan mengambil kira keperluan sektor tertentu,” katanya.

Beliau berkata, anggaran EU-ERA menunjukkan bahawa produktiviti pekerja berusia adalah berbeza mengikut sektor.

“Dalam sektor pertanian, pekerja yang berusia menyumbang secara positif kepada produktiviti, manakala dalam sektor perkhidmatan mereka menyumbang secara negatif.

“Pemprofilan pekerja berusia menunjukkan bahawa majoriti daripada mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan dengan penguasaan sekitar 58.5 peratus.

“Anggaran ini menunjukkan terdapat keperluan untuk pengagihan semula pekerja berusia merentas sektor dan juga merentas pekerjaan untuk memastikan kecekapan dalam penggunaan input buruh,” katanya.

BHonline-

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori