KUALA LUMPUR : Individu berumur 65 tahun ke atas, bayi dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah antara individu berisiko tinggi ketika cuaca panas melampau yang melanda negara sekarang.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, golongan berisiko itu turut membabitkan ibu hamil dan wanita yang menyusukan anak serta penghidap penyakit kronik termasuk darah tinggi, kencing manis dan penyakit pernafasan.
“Beberapa kawasan di Malaysia dilanda cuaca panas dengan suhu yang tinggi sejak kebelakangan ini.
“Fenomena cuaca panas ini memberi kesan kepada kesihatan seperti boleh mengakibatkan strok haba apabila terdedah kepada keadaan ini secara berterusan.
“Terdapat beberapa golongan yang berisiko tinggi apabila terdedah kepada cuaca panas disebabkan faktor umur, jenis pekerjaan dan status kesihatan yang perlu diberi perhatian.
“Susulan itu, langkah bagi mengurangkan pendedahan terhadap cuaca panas perlu diambil untuk mengurangkan kesan terhadap kesihatan,” katanya dalam Twitter, hari ini.
Menerusi infografik dikongsikan KKM, kementerian itu turut menyatakan golongan berisiko itu termasuk pekerja yang terdedah kepada suhu panas seperti petani, buruh, pelombong dan peladang serta individu yang aktif contohnya ahli sukan.
-Berita Harian