Bekas Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack bersedia mewakili dirinya dalam saman fitnah RM1 juta yang difailkan terhadapnya oleh kerajaan negeri Pahang.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam satu kenyataan di media sosial, Wong Tack berkata dia hadir ke Mahkamah Tinggi Temerloh pagi ini untuk mengemukakan notis niat untuk mewakili diri sendiri di mahkamah.
“Saya telah disaman sebanyak RM1 juta oleh kerajaan negeri Pahang kerana kenyataan saya menyuarakan kebimbangan mengenai banjir besar yang melanda Bentong pada Disember 2021.
“Saman fitnah ini dimulakan oleh kerajaan negeri pimpinan BN tahun lalu dan diteruskan di bawah pentadbiran BN-Pakatan Harapan sekarang.
“Sebagai Ahli Parlimen Bentong ketika itu, saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk bersuara untuk rakyat Bentong yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda,” kata Wong Tack.
“Saya akan terus berjuang dan saya amat percaya keadilan akan ditegakkan,” tambahnya.
Kerajaan Pahang menyaman Wong Tack berhubung dua catatan di media sosial berkaitan banjir yang disiarkan oleh Ahli Parlimen DAP itu, yang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan di negeri itu.
Kerajaan negeri Pahang menuntut permohonan maaf tanpa syarat dan pampasan sebanyak RM1 juta.
Kedua-dua catatan berkenaan dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Wong pada 28 Dis 2021 dan 31 Jan 2022.
Wong Tack, yang memenangi kerusi parlimen Bentong pada 2018 dengan menewaskan Presiden MCA ketika itu, Liow Tiong Lai, digugurkan oleh DAP untuk bertanding pada PRU 2022.
Sebaliknya dia bertanding sebagai calon bebas.
Bagaimanapun, Wong mengalami kekalahan teruk kepada calon DAP, Young Syefura Othman dan hilang wang deposit.
-Malaysia Kini