KUALA LUMPUR : Seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan, ditemui ditinggalkan di tempat pembuangan sampah tepi Jalan Masjid berhadapan Bella Damansara, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya, pagi semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bayi berkenaan ditemui oleh seorang wanita bersama anak lelakinya, ketika melalui kawasan itu kira-kira jam 7.15 pagi sebelum bertindak membawa bayi berkenaan ke Balai Polis Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata bayi perempuan itu dijumpai dalam keadaan berbalut kain kuning, masih bertali pusat dan uri bersamanya.
“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan doktor, bayi dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan kemerahan di pipi sebelah kiri.
“Berat bayi adalah 2.5 kilogram dengan ketinggian 49 sentimeter dan bayi itu kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak HSB untuk rawatan dan pemerhatian,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, usaha mengesan suspek yang membuang bayi itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk membantu siasatan.
-Berita Harian