MELAKA: Jumlah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di seluruh negara tidak mencukupi apabila nisbah keanggotaan menunjukkan satu kepada 2,238 penduduk di negara ini.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah keanggotaan terkini anggota JBPM adalah melebihi 15,000 dan ia tidak seimbang.
“Dengan jumlah terkini melebihi 15,000 anggota berbanding 33.57 juta populasi Malaysia ia menjadikan nisbah keanggotaan 1 kepada 2, 238 orang penduduk.
“Ditambah pula dengan jumlah panggilan kecemasan yang perlu dihadiri melebihi 100,000 setiap tahun, saya melihat jumlah keanggotaan ini sama sekali tidak seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023, yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah JBPM, Abdul Wahab Mat Yassin; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Datuk Rais Yasin serta Pengarah JBPM Melaka Abu Bakar Katain.
Kor Ming berkata justeru itu kementerian akan meneliti secara komprehensif bagi cadangan penyusunan semula organisasi JBPM secara berfasa.
“Ia akan membabitkan naik taraf perjawatan dan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong serta mempertimbangkan untuk menambah jumlah keanggotaan JBPM.
“Ini termasuk juga elemen kebajikan seperti kajian semula cadangan ini sebelum kita angkat kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pertimbangan seterusnya untuk kelulusan,” katanya.
Ujar Kor Ming, sebagai sebuah organisasi penyelamatan dan kecemasan utama negara, jabatan sentiasa bersedia dalam menangani sebarang situasi kecemasan baik kebakaran, kemalangan, khidmat khas mahupun sebarang bentuk bencana.
Terdahulu, majlis sambutan itu dihadiri lebih 3,000 pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyaksikan beberapa pertunjukan dan demonstrasi kebombaan termasuk daripada Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).
Bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’, acara turut dimeriahkan dengan perbarisan 30 kontinjen dan 54 unit jentera membabitkan pembabitan lebih 1,330 peserta.
BHonline-