MOSCOW – Dua buah dron dipercayai milik Ukraine menyerang Kremlin semalam dalam insiden yang dianggap sebagai percubaan untuk membunuh Presiden Russia, Vladimir Putin, lapor portal berita Wion News semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kremlin menyifatkan insiden itu sebagai serangan terancang untuk membunuh Presiden Russia dengan Moscow berikrar akan bertindakbalas.
“Malam ini (semalam), rejim Kiev melakukan serangan dron ke atas kediaman Presiden Persekutuan Russia di Kremlin,” kata perkhidmatan akhbar Kremlin dalam satu kenyataan.
“Kami menganggap ini sebagai tindakan pengganas yang dirancang menjelang sambutan Hari Kemenangan pada 9 Mei ini,” kata Kremlin sambil menambah, Putin tidak berada dalam bangunan semasa serangan berlaku.
“Russia berhak untuk bertindak balas terhadap percubaan serangan itu ke atas Kremlin di mana dan pada bila-bila masa yang sesuai,” kata kenyataan sama.
Penduduk Moscow melaporkan mendengar dua letupan di belakang tembok Kremlin sejurus selepas pukul 2 pagi (waktu tempatan).
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan asap menjulang di ruang udara Kremlin.
Pihak berkuasa berkata, ia adalah serangan yang dilakukan oleh Ukraine dengan menggunakan dua buah dron.
Pasukan keselamatan Russia menembak jatuh kedua-dua dron itu dan tiada kecederaan dilaporkan, menurut agensi berita TASS.
-Kosmo Online