PUTRAJAYA : Kerajaan akan meneruskan agihan diesel bersubsidi dan pada masa sama, memperluaskan sistem ‘fleet card’ kepada sektor pengangkutan darat (barangan) menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan hanya penerima yang layak menikmati subsidi itu selain mengelak ketirisan dan penyeludupan.
Beliau berkata, SKDS itu penting untuk mengesan siapa yang perlu menerima subsidi diesel berkenaan pada masa depan.
“Jangan pula mereka ambil diesel dan jual kepada kilang-kilang seperti mana berlaku ketika ini. Kita juga akan perincikan kenderaan mana yang diperlukan (layak menerima subsidi),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil 1/2023 di sini hari ini.
Katanya, langkah itu juga perlu memandangkan tanggungan subsidi diesel negara melonjak kepada RM13 bilion pada tahun lalu iaitu lonjakan 37.7 peratus kepada 8.4 bilion liter (pasca Covid-19) berbanding 6.1 bilion liter pada 2019 (pra-Covid).
Anwar berkata, lonjakan itu tidak selari dengan peningkatan jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan bahan api tersebut yang cuma meningkat 2.4 peratus dari 2.08 juta kenderaan pada 2019 kepada 2.13 juta kenderaan pada 2022.
“Jadi mungkin wujud masalah tentang salah guna, penyeludupan dan ketirisan diesel. Ini yang saya sebut (sebelum ini mengenai) ketirisan RM10 bilion yang kemudian dicabar oleh sesetengah ahli Parlimen dan pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, mesyuarat sama hari ini turut mengutarakan isu nelayan yang menjual diesel kepada kapal asing di tengah laut dan sempadan.
“Ini (subsidi) dari kerajaan atau wang cukai yang dibayar untuk bantu rakyat sebaliknya digunakan oleh kartel melalui penjualan kepada kilang-kilang besar dan penyeludupan,” katanya.
-Utusan Online