JAKARTA: Indonesia mengeluarkan peraturan baharu yang membenarkan semula eksport mendapan marin dalam bentuk pasir laut selepas 20 tahun eksport bahan itu dilarang.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Media tempatan melaporkan, peraturan mengenai eksport pasir laut itu ditetapkan di bawah Peraturan Pemerintah mengenai Pengelolaan Hasil Pemendapan Laut.
Ia menyatakan pasir laut kini boleh digunakan untuk penambakan domestik, pembangunan infrastruktur untuk usaha kerajaan, pembangunan infrastruktur oleh pemaju, dan eksport.
Peraturan itu ditandatangani oleh Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) pada 15 Mei dan berkuat kuasa serta-merta.
Peraturan baharu itu secara automatik menggantikan peraturan yang dikeluarkan pada 2003 melarang eksport pasir laut atas kebimbangan mengenai penangkapan ikan secara haram.
Untuk mendapatkan permit eksport pasir laut, pengeksport mesti mengemukakan permintaan permit bersama cadangan yang memperincikan rancangan kerja mereka, rakan kongsi kerja dan lokasi tepat atau titik koordinat kawasan perairan yang ingin mereka teroka.
Sebelum larangan itu, Singapura adalah pasaran terbesar Indonesia untuk eksport pasir laut, dengan jualan sekitar 250 juta meter padu setahun kepada negara jiran itu.
UtusanOnline-