ISKANDAR PUTERI : Johor Darul Ta’zim meleburkan rekod tanpa kalah Sri Pahang FC (SPFC) apabila menewaskan pasukan itu 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kemenangan skuad kendalian Esteban Solari meletakkan pasukan yang bergelar Harimau Selatan berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan liga kali ke-10 berturut-turut tatkala masih kebal dengan rekod tanpa kalah dan kekal di puncak liga selepas mencipta kemenangan ke-12 berturut-turut.
Pada perlawanan itu, gandingan trio Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi terus diberi kepercayaan oleh Solari bagi mengemudi jentera serangan untuk menggempur benteng pertahanan skuad kendalian Fandi Ahmad.
Percaturan itu hampir membuahkan hasil pada minit ke-11 apabila Bergson yang bertindak secara solo di luar kotak penalti merembat bola leret tepat ke gawang gol tetapi sempat diselamatkan penjaga gol, Muhammad Zarif Irfan Hashimudddin.
Apapun sepanjang 30 minit permainan barisan tengah JDT yang diterajui Leandro Velazquez, Afiq Fazail dan Shio Hong Wan tampak serba tidak menjadi apabila gagal melakukan hantaran bola yang tepat kepada barisan serangan tuan rumah.
Peluang terbaik JDT merungkai jaringan hadir pada minit ke-40 selepas bola sepakan lintang Matthew Davies di posisi sayap kanan disambar Afiq Fazail yang merembat bola kencang tapi Muhammad Zarif Irfan bersedia untuk menampan bola.
Ketika aksi memasuki minit terakhir babak pertama, tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan jaringan berpunca daripada bola sepakan lambung kapten Jordi Amat tepat kepada Forestieri berada di dalam kotak penalti bertindak pantas melorongkan bola untuk Bergson melakukan penyudah terakhir menewaskan Muhammad Zarif Irfan.
Bersambung babak kedua, anak didik Solari terus memberi tekanan terhadap benteng pertahanan skuad Tok Gajah dengan corak permainan berintensiti tinggi dalam usaha menambah jaringan.
Namun perubahan taktikal permainan yang dibuat Fandi apabila bermain secara `berkampung’ di kawasan sendiri tampak menyukarkan jentera serangan JDT melakukan percubaan berbahaya.
Usaha berterusan JDT untuk menambah jaringan hadir pada minit ke-74 selepas bola umpanan Arif Aiman menyaksikan Forestieri yang berada di luar kotak penalti menyepak bola lencong tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Muhammad Zarif irfan sekali gus melengkapkan gol ke-13 dalam saingan liga buat penyerang dari Argentina itu.
Malang buat Oscar Arribas yang sepatutnya menambah jaringan pada minit ke-83 buat JDT tapi bola rembatan deras di dalam kotak penalti sekadar singgah tiang gol kiri manakala rembatan susulan Arif Aiman dihalang pemain pertahanan skuad Tok Gajah dan kedudukan 2-0 yang memihak skuad Harimau Selatan kekal sehingga tamat perlawanan.
-Berita Harian