Marang: Lapan termasuk dua kanak-kanak cedera manakala dua lagi selamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Alor Toman, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, di sini, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan jam 4.24 petang.
Menurutnya, seramai 10 anggota bersama satu jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, Bezza dan Proton Saga, yang mana lapan mangsa cedera.
“Mangsa yang cedera adalah pasangan suami isteri dan dua anak yang menaiki Perodua Myvi serta pemandu dan penumpang Proton Saga membabitkan lelaki dan tiga wanita dewasa.
“Sementara, dua lelaki menaiki yang Perodua Bezza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa sudah dikeluarkan orang awam sebaik pihaknya tiba di lokasi kejadian.
Katanya, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
-Harian Metro