PETALING JAYA : Malaysia yang dikurniakan dengan pelbagai perayaan dan budaya sepatutnya memberi keinsafan kepada semua masyarakat agar terus membawa mesej kasih sayang dan keamanan dalam jati diri rakyat.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu seharusnya disertakan persefahaman yang utuh sebagai jalan menghindari kebinasaan dan kepunahan tata hidup masyarakat majmuk negara ini.
Justeru, bersempena Hari Wesak, beliau mengajak rakyat untuk hormat-menghormati dan hidup dalam keadaan aman serta berukun seperti mana falsafah hari besar dalam kalangan penganut Buddha yang memperingati tiga peristiwa penting melalui satu perayaan (Trisuci Wesak).
“Perayaan ini bertujuan memperingati lahirnya pendiri ajaran Buddha yakni Pangeran Siddharta Gautama dan setelah itu mencapai Penerangan Agung pada umur 35 tahun dan kemudian matinya Pangeran Gautama pada umur 80 tahun.
“Penganut Buddha percaya bahawa untuk mencapai kebahagiaan tingkat tinggi atau Nirvana adalah dengan melawan dan membenam sikap keserakahan, kebencian dan kejahatan. Inilah falsafah yang sangat universal yang boleh diteladani dengan cermat.
“Sengaja saya singkap falsafah Hari Wesak sebagai usaha dan upaya memupuk kasih sayang, kemuliaan insan, prinsip hidup berdamping, hormat menghormati dan hidup dalam keadaan aman dan berukun” katanya menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Beliau kemudian mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak kepada seluruh penganut Buddha di Malaysia.
-Utusan Online