Misi mencari dan menyelamat pendaki pekak Muhammad Hawari Hisham yang hilang selepas menakluki Gunung Everest minggu lalu akan berakhir pada 28 Mei, kata Ketua
Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan K Nagulendran.
Katanya, kerajaan hari ini menyalurkan RM1.48 juta kepada penganjur ekspedisi Altitude Exploration Club bagi membantu misi mencari Hawari yang dilaporkan hilang sejak 18 Mei lalu.
“Gunung Everest akan ditutup kepada semua pendaki pada 29 Mei dan kami hanya mempunyai sehingga 28 Mei. Selepas itu, semua orang mesti turun.
“Jadi tempoh ini adalah sangat penting. Kerajaan merasakan kita harus berusaha sedaya upaya, terutamanya kerana Hawari adalah orang kurang upaya,” kata Nagulendran pada sidang media di lobi Parlimen.
Nagulendran, yang menaruh harapan bahawa Hawari akan ditemui dalam keadaan selamat, berkata gunung itu hanya akan dibuka semula tahun depan selepas tarikh akhir 28 Mei.
“Kita tidak boleh melanjutkan tarikh itu kerana kita tidak boleh berunding dengan cuaca. Untuk melakukan itu bermakna kita akan meletakkan lebih ramai orang dalam bahaya.
“Jadi, kita perlu hormati alam semula jadi.
“Kami sangat positif, kami berharap dia masih selamat,” tambahnya.
Timbalan Presiden Kelab Eksplorasi Altitud Murshid Maktar menjelaskan bahawa arahan penutupan itu juga berdasarkan ramalan cuaca.
“Sekarang ini adalah masa terbaik (untuk mendaki) berbanding bulan-bulan lain dalam setahun. Jadi berdasarkan ramalan cuaca, cuaca (baik) akan berlarutan sehingga 29 Mei ini.
“Selepas itu, misi mencari dan menyelamat ditutup sepenuhnya,” katanya.
Murshid berkata pasukan mencari dan menyelamat turut dibantu oleh enam pendaki Sherpa – suku etnik Nepal yang terkenal dengan peranan mereka sebagai pemandu Everest.
Usaha sedang dijalankan dengan berjalan kaki serta melalui pengawasan udara melalui helikopter.
Sementara itu, Bernama melaporkan jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub dijangka tiba di tanah air selewat-lewatnya Sabtu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata jenazah Awang Askandar telah berada di Base Camp 2 pada 9.30 pagi tadi (waktu Nepal) dan akan dibawa turun ke Everest Base Camp (EBC) menggunakan helikopter.
“Bagi memenuhi hasrat ahli keluarga, jenazah akan dikebumikan di kampungnya di Papar, Sabah pada hari sama tiba di Kota Kinabalu iaitu jangkaannya pada Jumaat atau selewat-lewatnya Sabtu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Ramah Monsun Barat Daya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur hari ini.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest, yang mempunyai ketinggian 8,848 meter dari paras laut.
Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.
Armizan berkata kerajaan memberikan komitmen penuh dari segi kewangan kepada proses mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi peserta ME 2023, Muhammad Hawari yang dilaporkan hilang selepas itu.
“Proses SAR Muhammad Hawari masih diteruskan sehingga kini. Kerajaan tidak akan berhenti berusaha, namun kos pencarian agak tinggi seperti penggunaan helikopter dan bayaran malim gunung,” katanya.
Muhammad Hawari merupakan pendaki orang kurang upaya (OKU) ME 2023, dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak ketika dihubungi memaklumkan jenazah Awang Askandar kini telah tiba di (EBC) dan jenazah difahamkan akan diterbangkan ke hospital di Kathmandu bagi urusan selanjutnya.
-Malaysia Kini