SEREMBAN: Seramai 891 pemilik unit Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Residensi Seremban Sentral di sini yang sebelum ini membantah tindakan pemaju gagal menyerahkan kunci biarpun kediaman sudah siap akan mula memasuki kediaman itu mulai 1 Jun ini.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu berkata, kelewatan kemasukan itu adalah disebabkan perbalahan panjang antara pihak Perbadanan PR1MA Malaysia dan pemilik tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Residensi PR1MA ini sudah hadapi masalah panjang kerana perbalahan antara pihak Perbadanan PR1MA dan tanah rizab KTMB sejak 2015 tak selesai.
“Sebanyak 891 unit kediaman ini tidak dapat dimasuki penghuninya kerana perbalahan ini. Jadi, kita selesaikan, mulai 1 Jun (891 pemilik unit kediaman) boleh masuk,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini.
Februari lalu, pembeli projek PR1MA Residensi Seremban Sentral di sini mendesak pihak pemaju perumahan itu untuk menyerahkan segera kunci rumah kepada pemilik, berikutan projek berkenaan sudah pun siap sepenuhnya namun masih belum boleh diduduki pembeli.
Untuk rekod, projek perumahan PR1MA Residensi Seremban Sentral mempunyai 1,504 unit dan telah mula dibina pada tahun 2017 dan siap sepenuhnya tahun lalu.
BHonline-