WELLINGTON : Polis New Zealand pada Jumaat mengumumkan penemuan dipercayai mayat manusia di lombong Pike River, hampir 13 tahun sejak tragedi letupan di sebuah lombong mengorbankan 29 nyawa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Satu siri letupan yang berlaku pada 19 Nov 2010 di lombong bawah tanah berhampiran Greymouth, di wilayah Pantai Barat Pulau Selatan negara itu telah mengorbankan 29 nyawa. Mayat mereka tidak pernah dijumpai.
Polis dan pakar telah menggerudi lubang yang menghala ke lombong arang batu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap bencana itu.
Inspektor Detektif Darryl Sweeney berkata imej dari lubang gerudi menunjukkan kemungkinan penemuan jasad manusia.
Dua pakar patologi telah melihat imej itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada imej itu adalah mayat manusia, kata Sweeney.
“Kami menyedari ini adalah proses yang amat sukar bagi keluarga 29 mangsa yang terkorban di Pike River,” katanya.
Tiga lagi lubang akan digerudi di tapak itu dalam beberapa minggu akan datang, bagi menyimpulkan siasatan polis di lombong itu, kata Sweeney.
-Berita Harian