KUALA LUMPUR: Institut Jurutera Malaysia (IEM) menawarkan bantuan teknikal dan pandangan, susulan kejadian tembok penahan tebing runtuh di Wisma YPR, yang mengakibatkan seorang pengawal keselamatan maut, Khamis lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Presidennya, Prof Dr Norlida Buniyamin, berkata institusi itu mempunyai keupayaan dengan kebanyakan ahli adalah penggerak industri dengan kepelbagaian kepakaran.
Katanya, kira-kira 50,000 ahli serta gabungan dengan beberapa organisasi kejuruteraan antarabangsa, IEM mempunyai kepakaran yang mampu menawarkan bantuan teknikal dalam peristiwa tragis itu.
“Penyiasatan menyeluruh perlu dijalankan untuk menentukan punca tembok penahan itu runtuh dan pada masa sama, untuk pengajaran di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam tragedi Khamis lalu, di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, di sini, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, mayat mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditemukan pada jam 6.23 pagi tadi.
Menurut bomba, runtuhan batu penahan tebing menghempap pondok pengawal ketika mangsa berada di dalam pondok itu, menyebabkan mangsa tertimbus.
Norlida berkata, runtuhan tembok penahan biasanya tidak dilihat sebagai tragedi tanah runtuh, seperti yang dilaporkan oleh media tempatan sebelum ini.
“Tanah runtuh ditakrifkan sebagai pergerakan pantas jisim bumi atau batuan menuruni cerun. Berdasarkan gambar yang dikeluarkan media dan pandangan daripada peta Google, tiada cerun di sebalik tembok penahan yang runtuh,” katanya.
Beliau berkata, tembok penahan adalah struktur penting untuk menahan jisim yang berada di aras lebih tinggi daripada jatuh ke bawah.
“Apabila penahan menjadi lebih besar, tekanan jisim di sebalik tembok itu juga lebih besar, sekali gus menambah risiko sekiranya penahan itu runtuh.
“Reka bentuk tembok penahan hendaklah mempertimbangkan semua faktor yang mungkin mempengaruhi kestabilan dinding dalam tempoh jangka panjang ini,” katanya.
Norlida menjelaskan, Kertas Kerja ‘Updated Policies and Procedures for Engineering Control of Hill-site Developments’ yang bertarikh 25 Jun 2009 mengesyorkan, semua pembangunan siap sedia ada, dengan dinding penahan lebih daripada ketinggian tiga meter hendaklah mempunyai reka bentuk kejuruteraan.
Tambahnya, elemen itu perlu disemak dan dinilai pihak berkelayakan, selain Submitting Engineer, untuk menentukan tambahan ketinggian yang diperlukan.
BHonline-