Putrajaya : Pemberian tol percuma terutama pada musim perayaan tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian tol itu tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan yang tetap berlaku.
“Ketika perayaan Aidilfitri baru-baru ini, kerajaan putuskan tol percuma diberikan kepada kenderaan dan ini tidak menyelesaikan masalah kesesakan, malah kita lihat ianya berlaku.
“Oleh itu tentu ada beberapa jalan kaedah penyelesaian kepada masalah itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan mengakui kesesakan lalu-lintas bukan hanya berlaku di sekitar Lembah Klang sebaliknya turut berlaku setiap musim perayaan.
Pada 18 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tol percuma Rahmah kepada semua kelas kenderaan sempena sambutan Aidilfitri.
Tol percuma itu membabitkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan bermula dari 19 hingga 21 April lalu termasuk 24 April.
-Harian Metro