TAMPIN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka dari parti itu yang didakwa akan menyertai Pas.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Beliau mengikuti perkembangan terbaharu politik di Melaka itu dan pertemuan itu dikatakan akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Saya mengikuti perkembangan itu, saya kenal ADUN itu dan saya akan bertemu dengan beliau dalam waktu terdekat,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Kompleks Sukan Komuniti Felda Jelai 2, Gemas, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pas bakal mempunyai wakil tunggalnya di DUN Melaka dalam persidangan dijadualkan berlangsung Julai ini, seandainya benar khabar angin yang mendakwa terdapat seorang ADUN BN akan menyertai parti itu.
Ia dikuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin berkenaan ke Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) Melaka yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bemban di sini, malam tadi.
Pengerusi PN negeri yang juga Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub ketika ditemui tidak menafikan atau mengiyakan spekulasi itu, namun menyatakan pihaknya terbuka menerima mana-mana wakil rakyat kerajaan yang ingin bersama menguatkan barisan pembangkang.
UtusanOnline-