Putrajaya : Penggunaan dua dron berteknologi tinggi menjadi sandaran sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang di pergunungan Everest sejak 19 Mei lalu.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Ketua Misi ME 2023, Azim Afif berkata, mereka sudah berada di Lukla selepas diterbangkan dari Kathmandu dengan helikopter seterusnya ke Pheriche dan Everest Base Camp (EBC) untuk mengambil beberapa peralatan logistik sebelum ke Kem Dua di pergunungan Everest sekiranya cuaca baik bagi memulakan operasi SAR.
Menurutnya, suasana di lapangan terbang juga sepi dan hanya beberapa penduduk tempatan dilihat berada di kawasan itu selepas pihak berkuasa Nepal menutup aktiviti pendakian bermula Isnin lalu.
Katanya, penggunaan alat berkenaan dilihat lebih efisyen dalam misi pencarian selain tidak memerlukan tenaga yang ramai.
“Penggunaan dron ini menumpukan kawasan cerun berbahaya di Kem Dua dan Kem Tiga yang tidak boleh dimasuki manusia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Operasi SAR menggunakan dron sepatutnya bermula Isnin lalu namun tertangguh selepas pihak kastam negara itu hanya memberi pelepasan pada Rabu.
Dron berteknologi tinggi itu boleh terbang pada ketinggian antara 5,000 hingga 7,000 meter dengan jarak 15 kilometer dan 1,500 meter terbang menegak.
Selain Azim, operasi SAR disertai pendaki ME2023, Tiong Tiong Ling Yang, 30, dan Pengurus Pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30.
Azim berkata, dron itu akan dikendalikan dengan bantuan pakar bidang fotografi yang dilantik menyertai misi SAR.
Katanya, pada masa sama pihaknya turut melantik beberapa malim gunung yang bersiap sedia sekiranya operasi menemui petunjuk barangan digunakan Muhammad Hawari.
“Kita akan manfaatkan kebenaran ihsan 120 jam diberikan pihak berkuasa Nepal dan berharap operasi ini dapat berjalan dengan baik tanpa berhadapan sebarang cuaca buruk,” katanya.
-Harian Metro