RIO DE JANEIRO : Bapa Neymar, Neymar De Silva Santos ditangkap pihak berkuasa Brazil atas kesalahan jenayah alam sekitar.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Neymar Senior didakwa melakukan kerja-kerja ‘terlarang’ ketika mengubah suai rumah agam bintang bola sepak Brazil itu di Mangaratiba.
Menurut laporan Uol Sport, bapa Neymar ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Mangaratiba dan Polis Sivil berikutan aduan mengenai jenayah alam sekitar.
Bapa Neymar ditahan selepas bertengkar dengan setiausaha alam sekitar Mangaratiba, Shayenne Barreto.
Bagaimanapun dia kemudian dibebaskan selepas membayar denda yang tinggi 822,000 pound (RM4.8 juta).
Masalah berpunca daripada tasik buatan yang dibina Neymar dan menggalakkan penebangan hutan, pemecahan batu serta pengalihan sungai.
Pembinaan tasik itu telah melanggar beberapa undang-undang alam sekitar, termasuk pengalihan aliran air, pengabstrakan air sungai tanpa kebenaran, pengabstrakan air untuk tasik buatan, kerja tanah, penggalian dan pergerakan batu serta penggunaan batu tanpa kebenaran.
Jabatan Alam Sekitar Perbandaran Mangaratiba dikatakan mengetuai operasi itu dan disokong Polis Tentera Alam Sekitar serta ejen Kumpulan Perlindungan Alam Sekitar.
Penangkapan itu dilakukan hanya beberapa jam selepas Neymar mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada teman wanitanya yang sedang hamil, Bruna Biancardi.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) dan Brazil berusia 31 tahun itu menyiarkan kenyataan panjang lebar di Instagram dengan menggelar Bruna sebagai ‘wanita yang diimpikan’.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas dia menyifatkan kehamilan teman wanitanya adalah satu ‘kesilapan’.
-Utusan Online