MELAKA: Empat pemuda yang melakukan aksi ‘Superman’ dengan menunggang secara meniarap di atas motosikal ditahan polis di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin, (AMJ) berhampiran Bukit Piatu, di sini, awal pagi tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kesalahan itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota Unit Polis Peronda Lebuhraya (HMPV) ketika menjalankan Op Motosikal di sekitar Lebuh AMJ, Bukit Piatu-Melaka Sentral sekitar jam 2 pagi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata remaja berusia 18 hingga 22 tahun itu ditahan selepas didapati menunggang secara berbahaya.
Beliau berkata, ketika rondaan sebuah motosikal Yamaha Lagenda ditunggang remaja lelaki berusia 18 tahun didapati melakukan aksi ‘superman’ iaitu meniarap di atas tempat duduk dan mencelah di antara kenderaan yang lain.
“Remaja terbabit dikesan menunggang secara melulu dan berbahaya bermula dari Lebuh AMJ, berhampiran Bachang, sehingga ke lampu isyarat Bukit Piatu sejauh kira-kira 700 meter.
“Dia kemudiannya ditahan di lokasi sama kira-kira jam 3.45 pagi bagi membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Christopher berkata, beberapa minit selepas itu polis mengesan sekumpulan lagi penunggang motosikal bergerak dari arah Lebuh AMJ Bukit Piatu menuju Bachang sebelum mengarahkan anggota HMPV untuk mengekori dan mengecam suspek.
“Suspek lelaki berusia 18 hingga 22 tahun masing-masing menunggang motosikal Yamaha Y15ZR didapati melakukan aksi ‘superman’ dan gerakan ‘zig-zag’ antara kenderaan awam lain pada kelajuan tinggi.
“Semua mereka kemudian memberhentikan motosikal di tepi jalan Lebuh AMJ, Lee Rubber selepas diarah anggota peronda HMPV,” katanya.
Beliau berkata, keempat-empat pemuda itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Semua motosikal ditunggang mereka juga disita untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
BHonline-