SELAYANG: ‘Inspektor Sheila’ yang tular dalam media sosial, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal di sebuah kedai makan, dua minggu lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun pegawai polis wanita itu atau nama sebenarnya S. Sheila Sharon, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Mengikut pertuduhan, Sheila didakwa telah menyebut berkenaan pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan penama tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini pukul 1.25 petang pada 15 Jun lalu.
Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, mahkamah berlainan, Sheila didakwa di hadapan Majistret Chai Guan Hock atas dua lagi pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa dan menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk , botak dan badak sumbu”.
Bagi kesalahan mengugut Sheila didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi kesalahan menghina, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat serupa pukul 12 tengahari dan 1 petang pada tarikh sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kesemua pertuduhan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal dan Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala Sheila diwakili peguam M. Manoharan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Ogos ini bagi sebutan kes.
Sebelum ini, tular seorang penjawat awam yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ dikatakan merendah-rendahkan pangkat anggota polis lain.
Sejurus kejadian tular itu, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka selain tindakan ditahan tugas dikenakan ke atas pegawai polis itu berikutan beberapa siri kekecohan yang tular di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu tersebut.
Kata beliau, dua kertas siasatan tersebut dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM.
Selain itu, beliau berkata, enam lagi kertas siasatan turut dibuka melibatkan aspek tatatertib yang dilaksanakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
UtusanOnline-