JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari harus mengadaptasi taktikal yang lebih ampuh dan agresif apabila melayani kunjungan Selangor FC pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, malam esok.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Percaturan itu penting memandangkan JDT tampak bergelut mempraktikkan taktikal berkesan dalam dua aksi lalu sebelum meraih kemenangan ketika menentang Sri Pahang FC dan Penang FC yang berkesudahan kedua-dua perlawanan itu anak didik Solari hanya menang 2-0.
Di atas kertas, skuad Harimau Selatan tampak berkelebihan tatkala beraksi di laman sendiri namun perlu ingat kebangkitan skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang bakal tampil dengan tempo permainan berintensiti tinggi dalam usaha memburu kemenangan.
Solari pastinya boleh tersenyum selepas aksi pemanas badan menentang juara Liga Singapura (Liga S) musim lalu, Albirex Niigata FC yang berkesudahan JDT menang besar 5-1, baru-baru ini menyuntik motivasi terbaik buat pemain berdepan skuad The Red Giants.
Namun kecederaan yang dialami Feroz Baharuddin dan Natxo Insa ketika bersama kem latihan skuad kebangsaan mengharungi aksi persahabatan antarabangsa di Kuala Terengganu, bakal merencat sedikit perancangan Solari dan jika kedua-dua pemain itu tidak dapat diturunkan maka pengendali kelahiran Argentina kemungkinan akan membuat rombakan kecil.
Apapun, bekas pembantu jurulatih Bawah 23 Tahun Argentina itu sudah pasti mempertaruhkan sama ada gandingan Fernando Forestier, Bergson Da Silva atau Diogo Luis Santo bagi menggempur benteng Selangor FC dan kelibat Arif Aiman Hanapi turut menjadi taruhan terbaik menguatkan lagi jentera serangan selepas pemain itu menyerlah ketika bersama skuad Harimau Malaya.
Di posisi tengah pula, Solari mungkin boleh memikirkan untuk menyenaraikan Syamer Kutty Abba yang menunjuk prestasi memberangsangkan ketika bersama skuad Harimau Malaya apabila pemain kelahiran Pulau Pinang itu berfungsi dengan baik selaku pemain tengah bertahan di Kuala Terengganu.
Bukan menidakkan keupayaan Shio Hon Wan di posisi berkenaan, sebaliknya pemain berusia 22 tahun ada ketika tampak gugup dan melakukan kesilapan mudah jika pemain seperti Mukhairi Ajmal Mahad dan Yohandry Orozco kerap memberi tekanan,
Benteng JDT menjadi pertaruhan untuk memastikan kelibat penyerang Selangor FC, Ayron Del Valle tidak mudah melakukan percubaan berbahaya dan Jordi Amat yang mendapat pengalaman terbaik bersama Indonesia menentang juara Piala Dunia, Argentina pada aksi persahabatan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta baru-baru ini pasti akan turun dengan corak lebih konsisten berdepan anak didik Cheng Hoe.
Apapun, selaku juara bertahan semestinya JDT tidak rela hajat mempertahankan kejuaraan itu disekat Selangor dan pasti turun habis-habisan bagi menoktahkan kemenangan sekali gus mengelak daripada aksi di bawa ke penentuan sepakan penalti.
BHonline-